Hentikan Program Yang Merosakkan dan Meruntuhkan Akhlak Umat Islam

Kenyataan Media IKRAM Kemaman

Pertubuhan IKRAM Daerah Kemaman sangat dukacita dan kecewa dengan penganjuran program k-pop B1A4 Special Fan Meeting di KL-Live oleh TGM Events dan ACER pada 10 Januari 2015 yang turut melibatkan aksi berpelukan dan bercium di antara gadis-gadis Melayu dengan anggota kumpulan tersebut. Aksi-aksi mencemarkan maruah wanita Muslim di program yang bertajuk “Let’s Fly! – With Acer” ini sangat keterlaluan dan terkeluar daripada adab dan budaya masyarakat kita.

IKRAM Kemaman juga menggesa agar pihak kerajaan mengambil tindakan yang tegas terhadap penganjur program dan kumpulan k-pop ini yang langsung tidak menghormati kesucian agama Islam di negara ini. Sikap tidak sensitif ini sangat memalukan dan tindakan yang keras perlu diambil oleh pihak yang berkuasa bagi membendung agar ianya tidak berulang lagi.

IKRAM Kemaman juga menyeru agar pihak ibu bapa memainkan peranan lebih bertanggungjawab bagi mendidik anak-anak agar mereka berupaya memiliki keimanan yang teguh dan mampu membezakan di antara yang halal dan yang haram. Filem dan drama yang boleh meracuni pemikiran dan akhlak generasi muda juga perlu ditapis dan dielakkan ditonton oleh anak-anak muda. Benteng utama agama ini iaitu solat dan al-Quran perlu diperkasakan lagi dengan mendidik anak-anak menghayati solat yang didirikan dan melazimi menghayati kitab Al-Quran. Dua perisai ini mesti terus diterapkan di hati umat Islam di semua peringkat.

IKRAM Kemaman menyeru agar mereka yang terlibat di dalam program ini untuk kembali bertaubat dan tidak mengulangi lagi tindakan mencemar maruah yang bertentangan dengan ajaran agama Islam itu.

IKRAM Kemaman juga berdoa agar insiden ini tidak mengundang bala daripada ALLAH SWT dan menyeru agar umat Islam berwaspada dengan racun-racun yang boleh merosakkan akhlak umat Islam.

Hj Fakhrul Anuar Zulkawi
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Remaja IKRAM Negeri Terengganu
& Timbalan Yang DiPertua IKRAM Kemaman

12 Januari 2015

Daurah Solat didik masyarakat hayati keutamaan solat yang sempurna.

image

Jawatankuasa Tarbiah IKRAM Kemaman telah berjaya menganjurkan Daurah Pemantapan Solat pada 7 November 2014 yang lalu. Program ini telah diadakan di Auditorium Pusat Latihan Teknologi Lanjutan (ADTEC) Kemaman, Kg Payoh Kijal.

image

Menurut Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Kemaman Hj Fakhrul Anuar Zulkawi, program ini bertujuan untuk meningkatkan penghayatan masyarakat tentang solat yang merupakan teras ibadah. Dengan ibadah solat yang betul mampu melahirkan khusyuk dalam solat.

image

Program daurah solat ini dikendalikan oleh Profesor Madya Dr Hasnan Kasan. Menerusi buku bimbingan solat yang beliau sendiri menulisnya, beliau telah memahamkan peserta daurah ini tentang pengertian solat disudut hati, perbuatan dan bacaan. Ketiga-tiga elemen ini perlu difahami untuk memastikan solat itu memberikan kesan kepada hidup dan keperibadian individu muslim. Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menekankan makna seorang muslim sebagai hamba Allah yang perlu dihayati di dalam ketaatan kepada Allah SWT di sudut melaksanakan perkara yang wajib dan sunat serta menjauhi yang haram serta makruh. Kaedah solat yang betul sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. perlu dipelajari oleh setiap orang Islam bagi memastikan ianya menepati sebagaimana yang dibuat sendiri oleh baginda Rasul s.a.w. Manakala dengan mengetahui makna bacaan solat pula mampu melahirkan solat yang berkualiti dan berkesan kepada seorang muslim.

Program ini berjaya menarik minat lebih 200 orang peserta daripada kalangan remaja dan dewasa di sekitar daerah ini. Menurut Hj Fakhrul Anuar yang juga Timbalan Yang DiPertua IKRAM Kemaman, program pentarbiahan masyarakat seperti ini akan dilaksanakan secara berkala setiap menerusi program peningkatan ilmu seperti majlis halaqah usrah, daurah solat serta seminar, program tadabbur al-Quran serta program qiamullail. Semua ahli masyarakat diseru menyertai program-program yang diadakan ini setiap bulan di daerah ini oleh Pertubuhan IKRAM.

[Lagi gambar di FB IKRAM Kemaman]

image

image

image

image

TUAI ringankan beban ahli

image

IKRAM Kemaman diwakili oleh YDP, Ustaz Mazlan bin Ahmad dan Pengerusi JK Pembelaan Umat Sejagat IKRAM Kemaman, Ust Muzahar Hitam hari ini menyampaikan sumbangan yang dikumpulkan oleh Tabung Ukhuwwah Ahli IKRAM (TUAI) dan juga sumbangan orang ramai.

image

Sejumlah RM15,000.00 berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada En Mohd Zaini, bapa kepada ahli IKRAM yang juga guru di Sek Ren Islam Al-Amin Kerteh, Nur Raimi Mohd Zaini dalam pertemuan ringkas penuh mahabbah ini.

Rumah keluarga muallimah Nur Raimi,  musnah dijilat api dalam satu kebakaran yang dipercayai berpunca dari litar pintas pada petang 10  Zulhijjah Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

IKRAM Kemaman melalui JK Kebajikan dan unit I-Bantu melancarkan tabung untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa kebakaran ini.

Jazakumullahu khairan katheera kepada semua penyumbang yang begitu prihatin dan menghulurkan bantuan kepada keluarga ini.

SAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI DENGAN PENUH KESYUKURAN DAN KEMENANGAN – HAYATI TIGA TONGGAK RAMADHAN

Pertubuhan IKRAM Daerah Kemaman mengajak umat Islam di daerah ini khususnya dan negeri Terengganu amnya untuk terus menghayati ruh dan falsafah Ramadhan selepas berakhirnya bulan yang mulia ini pada hari ini. Kedatangan bulan Syawal perlu disambut dengan rasa penuh kesyukuran dan hari raya aidilfitri disambut dengan perasaan kemenangan melawan hawa nafsu setekah berjaya melalui bulan tarbiah Ramadhan ini.

image

Justeru umat Islam perlu menzahirkan hari kesyukuran dan kemenangan ini dengan sekurang-kurang beriltizam dengan tiga tonggak Ramadhan yang berpaksikan ketaqwaan kepada ALLAH iaitu menjadikan al-Quran sebagai sumber panduan kehidupan, menegakkan solat berjamaah di masjid sebagai sumber kekuatan umat dan menyebarkan khidmat kebajikan kepada golongan yang memerlukan.

Tonggak pertama iaitu al-Quran perlulah terus dibaca dan difahami oleh umat Islam agar ianya dapat dihayati sepenuhnya di dalam kehidupan umat Islam yang meliputi aspek aqidah, ibadah, muamalat dan perundangan Islam. Usaha mendidik generasi muda dengan pendekatan al-Quran perlu terus dititikberatkan dan pengajian al-Quran di masjid dan surau perlu diperhebatkan. Umat islam juga diseru agar terus menjadikan al-Quran sebagai bacaan harian mereka. Tarbiah langsung dari ALLAH SWT sepanjang bulan yang mulia ini mampu membentuk generasi cinta al-Quran untuk bulan-bulan seterusnya. Sehubungan dengan itu IKRAM Kemaman akan menganjurkan siri klinik al-Quran setiap minggu bagi membantu masyarakat memahami dan menghayati al-Quran.

Tonggak yang kedua ialah mendirikan solat secara berjamaah perlu dijadikan agenda teras pembangunan masyarakat. Pihak yang berwajib dengan kerjasama agensi serta NGO perlu bekerjasama mendidik dan mentarbiah masyarakat agar masjid dan surau terus dipenuhi selepas berakhirnya Ramadhan. Solat berjemaah di masjid juga mampu mengukuhkan kesatuan dan solidariti umat Islam disamping mampu membendung kemungkaran di dalam masyarakat. Masjid dan surau juga perlu diberikan peruntukan bagi menyediakan program-program yang mampu menarik masyarakat untuk kembali menjadikan masjid sebagai pusat kecermelangan umat. Sehubungan dengan itu IKRAM Kemaman akan anjurkan kempen solat berjemaah serta kursus penghayatan solat bagi membantu umat Islam untuk terus iltizam dengan solat berjemaah.

image

Aktiviti untuk anak-anak dianjurkan oleh pihak masjid untuk menarik minat mereka ke masjid sejak usia muda

Tonggak yang ketiga iaitu menyebarkan khidmat kebajikan kepada mereka yang memerlukan samada di dalam masyarakat setempat mahupun masyarakat Islam di peringkat antarabangsa yang memerlukan. Golongan fakir miskin dan anak yatim perlu terus disantuni sepanjang masa dan tidak hanya bermusim di bulan Ramadhan sahaja. Keperihatinan kita kepada nasib umat Islam di luar negara seperti di Palestin dan Syria juga perlu diteruskan. Isu kesedaran tentang kekejaman Zionis Israel terhadap Palestin perlu ditingkatkan dengan memboikot produk yang ada kaitan dengan Israel. Bantuan juga perlu terus disalurkan bagi membantu umat Islam yang masih daif di Myanmar, Mindanao, Kemboja dan sebagainya. Sehubungan dengan itu IKRAM Kemaman akan terus bekerjasama menggerakkan kempen pembelaan umat sejagat serta kutipan dana dengan agensi-agensi bantuan kemanusian yang diiktiraf antarabangsa seperti Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Aqsa Syarif Berhad.

image

Remaja turut diberi pendedahan tentang isu ummah semasa program Remaja Raikan Ramadhan (3R) di Masjid Kijal

IKRAM Kemaman percaya sekiranya ketiga-tiga tonggak di atas dihayati oleh umat Islam selepas selesai tarbiah Ramadhan ini, umat Islam akan menjadi umat yang bukan sahaja kuat di sudut aqidah dan ibadah tetapi juga mampu menjadi umat yang sejahtera, bermanfaat dan harmoni dengan mendapat keredhaan ALLAH SWT.

Hj Fakhrul Anuar bin Zulkawi
Timbalan Yang DiPertua
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tarbiah
Pertubuhan IKRAM Kemaman

28 Julai 2014 / 29 Ramadhan 1435

Ahli IKRAM Kemaman antara 50,000 peserta Perhimpunan Solidariti untuk Palestin di Dataran Merdeka

Berita IKRAM Kemaman

IKRAM KEMAMAN SERTAI PERHIMPUNAN AMAN SOLIDARITI RAKYAT PALESTIN DI DATARAN MERDEKA

IKRAM Kemaman telah menggerakkan ahli-ahlinya menyertai perhimpunan aman Solidariti Bersama Palestin Selamatkan Kanak-Kanak Gaza pada hari ini 2 Ogos 2014.  Konvoi IKRAM Kemaman bermula dari pintu gerbang Kemaman dekat Chendor. Sempena konvoi ini,  Ustaz Hj Mazlan Ahmad yang juga Yang DiPertua IKRAM Kemaman menyeru agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi ke atas perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara mereka dan juga Masjid al-Aqsa daripada cengkaman jahat Zionis Israel yang tidak berperikemanusiaan itu. Beliau juga berharap usaha IKRAM Kemaman mengumpul dan memobilisasi ahli IKRAM menjadi tanda solidariti IKRAM bersama rakyat Palestin khususnya di Gaza hari ini.  Seramai lebih 50 orang ahli IKRAM Kemaman telah bersama menyertai perhimpunan aman ini di Dataran Melaka. Ianya adalah inisiatif kerjasama Pertubuhan Viva Palestina Malaysia dan Aqsa Syarif Berhad di mana acara ini diadakan bukan sahaja di Kuala Lumpur malah juga di seluruh dunia dan disertai masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

image

YDP IKRAM Kemaman bersama keluarga menunjukkan bantahan kepada kekejaman Israel

image

Setiausaha IKRAM Kemaman turut serta dalam perhimpunan

Ustaz Mazlan juga menekankan peri pentingnya setiap rakyat Malaysia memainkan peranan dengan memboikot syarikat dan produk yang menyumbang kepada ekonomi Israel kerana mereka didapati terlibat memberikan dana wang yang banyak bagi membantu rejim Zionis Israel. Beliau juga berharap kempen kesedaran Palestin yang akan digerakkan oleh IKRAM Kemaman dengan kerjasama Aqsa Syarif Berhad kepada kalangan warga belia dan remaja di daerah selepas berakhirnya bulan Ramadan akan mendapat sambutan. Ianya melibatkan program cakna Palestin di kalangan warga pelajar sekolah rendah dan menengah serta para pelajar di institusi pengajian tinggi di daerah ini. Beliau juga menyeru agar badan-badan belia di daerah dapat bergabung tenaga menjayakan misi murni ini.

image

Anak-anak juga diberi pendedahan dan penerangan tentang isu Palestin

Dalam pada itu beliau juga memaklumkan kutipan untuk Palestin sebanyak RM48,947 telah berjaya dikutip sempena Program Semarak Ramadhan 2014 baru-baru ini. IKRAM Kemaman dengan kerjasama Aqsa Syarif Berhad telah mengadakan program solat terawih bersama Imam Palestin di beberapa buah masjid dan surau iaitu Masjid Tengku Mizan Kerteh, Surau Rantau Petronas, Masjid Kg Bukit Kuang, Masjid Geliga dan Surau Biru Kerteh. Kutipan dibuat selesai solat terawih dan tazkirah oleh Imam Palestin iaitu Imam Yameen Youssef Saleh.

Sehubungan dengan itu IKRAM Kemaman menyeru agar rakyat di daerah ini untuk meneruskan sumbangan kepada rakyat Palestin terus ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 12092010034904 atau Maybank Islamic 551575004299 atas nama  Aqsa Syarif Berhad.

Hulurkan Sumbangan Buat Gaza

Kenyataan Media IKRAM Kemaman

SEGERA HULURKAN SUMBANGAN BUAT GAZA

Pertubuhan IKRAM Daerah Kemaman menggesa agar rakyat di daerah ini untuk segera bersama menghulur bantuan kepada umat Islam di Gaza yang sedang dibantai oleh zionis Israel. Tanpa menghormati bulan Ramadhan yang merupakan bulan suci bagi umat Islam, Israel terus mengganas dan membunuh rakyat Gaza termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa dengan hujanan bom yang telah meragut ratusan nyawa sejak mereka menyerang Gaza pada 10 Julai 2014 yang lalu.

Sehubungan dengan itu IKRAM Kemaman dengan kerjasama Aqsa Syarif Berhad akan mengadakan siri kempen kesedaran dan kutipan sumbangan yang dinamakan Operasi Badar dengan sasaran sebanyak RM6 juta untuk dihantar segera ke Gaza bagi membantu rakyat Gaza yang teruk menderita akibat kezaliman Israel yang tidak berperi kemanusiaan ini.

Kempen kesedaran dan kutipan sumbangan ini juga merupakan sebahagian daripada Program Semarak Ramadhan 1435H daerah Kemaman yang kini masuk tahun yang ketiga. Ianya sebuah inisiatif yang digerakkan dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Kemaman. Antara program PSR pada tahun ini yang melibatkan kerjasama 12 buah masjid dan surau di daerah ini ialah majlis berbuka puasa bersama ahli kariah, sumbangan kepada 2000 orang fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal serta program remaja raikan ramadhan.

image

Menerusi PSR juga IKRAM Kemaman akan menghantar imam solat teraweh yang didatangkan khas dari Palestin ke masjid-masjid yang terpilih di daerah ini pada 16 hingga 18 Julai 2014 bersamaan 18 hingga 20 Ramadhan. Imam Palestin ini juga akan menyampaikan ceramah tentang isu perjuangan rakyat Palestin membebaskan tanahair mereka dari cengkaman zionis Israel sejak dari tahun penubuhan negara haram Israel pada 1948 sehingga sekarang.

IKRAM Kemaman sekali lagi menyeru agar rakyat di daerah ini untuk bersama menyokong usaha ini. Selain sumbangan derma yang akan disumbangkan terus kepada rakyat Palestin melalui saluran yang berwibawa iaitu Aqsa Syarif Berhad, penduduk di daerah ini juga digesa memboikot produk syarikat-syarikat yang menyokong Israel selama ini. Pihak masjid dan surau juga diseru agar mengadakan solat hajat dan doa qunut nazilah yang berterusan bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin ini menghadapi kezaliman Israel ini. Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 12092010034904 atau Maybank Islamic 551575004299 atas nama  Aqsa Syarif Berhad.

Hj Fakhrul Anuar bin Zulkawi
Timbalan Yang DiPertua
IKRAM Daerah Kemaman
14 Julai 2014 / 16 Ramadhan 1435

image

Ramadhan And Me persiapkan aulad menghadapi Ramadhan

image

Seramai 87 peserta terdiri daripada pelajar berusia 7 hingga 12 tahun telah menyertai Program Ramadhan And Me anjuran IKRAM Junior Kemaman bersempena Program Semarak Ramadhan Kemaman 1435H.

Program ini bertujuan mempersiapkan mental dan rohani anak-anak dalam menghadapi Ramadhan, bulan ibadah. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Ramadhan Story Telling, Art and Craft dan Ramadhan Wheel of Fortune.

AJK Aulad IKRAM Kemaman, Pn Zuhailah Ibrahim dalam ucapan pembukaannya telah memberikan motivasi kepada anak-anak supaya menyambut kedatangan Ramadhan dengan penuh kegembiraan dan tidak melepaskan peluang bersama-sama ahli keluarga menyemarakkan Ramadhan dengan amal ibadah.

Semoga program ini memberikan manfaat yang besar kepada semua yang terlibat. Menjadi hasrat IKRAM agar Ramadhan dijadikan bulan latihan oleh seluruh lapisan masyarakat untuk mempertingkatkan amal dan taqwa.

image

Anak-anak khusyuk membuat kraf

image

image

image

image

I-Match dan Borang UTJ online untuk ahli IKRAM

image

Wakil Unit Temu Jodoh (UTJ) IKRAM Daerah Kemaman, Ustaz Muzahar B Hitam dan Puan Noriah Bt Yusof telah menghadiri Latihan UTJ anjuran UTJ Pusat di Pejabat IKRAM Sepang pada hari sabtu 17 Mei 2014.

Latihan ini meliputi kemahiran semua wakil daerah untuk menguasai sistem I-Match  dan penggunaan borang UTJ secara online.

IKRAMedia Kemaman

Jawatankuasa IKRAM Kemaman 2014-2016

image

IKRAMedia Kemaman

Senarai Penuh Ahli Jawatankuasa IKRAM Kemaman sesi 2014-2016

Berikut adalah senarai ahli jawatankuasa IKRAM Kemaman beserta pemegang portfolionya yang telah diputuskan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa IKRAM Daerah Kemaman pada 16 Mac 2014.

YDP : Ust Mazlan Ahmad
TYDP : Hj Fakhrul Anuar Zulkawi
Setiausaha : Hj Norfizam Said
Pemangku PSU : Puan Sridayu Samsuri
Bendahari : Mohd Azri Zul
Ketua Wanita : Puan Saidah Mamat

Jk Tarbiah
Pengerusi : Hj Fakhrul Anuar Zulkawi
Timbalan : Ust Idris Kassim

Jk Masyarakat Madani
Pengerusi : Ust Mazlan Ahmad
Timbalan : Saleh Hussin

Jk Pembangunan Ekonomi
Pengerusi : Azri Zul
Timbalan : Hj Fakhrul Anuar Zulkawi

Jk Pembelaan Umat Sejagat
Pengerusi : Ust Muzahar Hitam
Timbalan : Ahmad Nadhir Yob

Jawatankuasa Khidmat Masyarakat
Pengerusi : Dr. Sakinah Abas
Timbalan : Mohd Sufian Mat Ali

Jk Pembangunan Mahasiswa
Pengerusi : Dr. Nubhan Alias
Timbalan Pengerusi : Zakaria Marzuki

Jk Belia
Pengerusi : Muhammad Khalid Saleh
Timbalan : Khairul Azri Jamaluddin

Jk Remaja
Pengerusi : Mohd Sufian Mat Ali
Timbalan : Muazzamah Abas

Jk Kebajikan
Pengerusi : Hjh Yong Rafidah Salleh
Timbalan : Ustzh Rosmawati Ahmad

Jk Penerangan
Pengerusi : Sridayu Samsuri
Timbalan : Muhammad Munzir Muzahar

Jk Dakwah
Pengerusi : Azman Dosan
Timbalan : Ust Khairudin Hamzah

Jk Pendidikan
Pengerusi : Hj Abdul Malik Mohd Isa
Timbalan : Hj Norfizam Said

IKRAMedia Kemaman