Category Archives: YDP

Selamat Tahun Baru Hijrah 1435 ; Teruskan dakwah!

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1435.
Tahun 1434H telah melabuhkan tirainya. Ini bermakna tahun 1435H menjelang dan peristiwa penghijrahan Baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah demi mempertahankan agama dan aqidah telah berlalu sejak lebih seribu empat ratus tahun yang lampau.

Walaupun Baginda Rasulullah s.a.w. menyebut tiada lagi hijrah selepas Peristiwa Fathu Makkah tetapi Baginda masih mengakui bahawa kita masih memerlukan penghijrahan dari sudut amal dan niat. Berhijrah dari amal dan niat yang buruk kepada amal dan niat yang baik dan ianya berlaku sepanjang hayat kita dan sepanjang zaman. Hijrah adalah penderitaan dan memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit daripada orang yang berhijrah samada dari sudut fizikal atau emosi.

Semangat hijrah dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh ArRasul dan para sahabah masih tetap utuh dan tidak luntur walaupun ribuan tahun telah berlalu. Semangat inilah yang perlu dan wajib dipertahankan dan kerana semangat inilah sinar Islam tetap bersinar dan tetap terpelihara. Para pendokong agamanya tetap hidup dan meneruskan perjuangan sebagai mata rantai kepada pendokong-pendokong sebelumnya.

Berbahagialah mereka yang mempersiapkan diri mereka sebagai pejuang agama dan sentiasa menghayati semangat hijrah dalam kehidupan mereka. Berbahagialah mereka yang sentiasa muhasabah dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri. Inilah sifat mukmin yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Umar alKhattab pernah berpesan ” Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan”.

Sempena tahun baru hijrah 1435H ini marilah sama-sama kita menanam semangat untuk sentiasa berhijrah kearah yang lebih baik dan meletakkan diri kita dalam keadaan sentiasa bersedia. Mempersiapkan diri dari sudut ilmu, amal, akhlak, semangat jihad dan lebih utama sentiasa mendapat keredhaan Allah dalam semua kerjabuat kita.

 

Ust Mazlan bin Ahmad

YDP IKRAM Kemaman