Monthly Archives: July 2014

Hulurkan Sumbangan Buat Gaza

Kenyataan Media IKRAM Kemaman

SEGERA HULURKAN SUMBANGAN BUAT GAZA

Pertubuhan IKRAM Daerah Kemaman menggesa agar rakyat di daerah ini untuk segera bersama menghulur bantuan kepada umat Islam di Gaza yang sedang dibantai oleh zionis Israel. Tanpa menghormati bulan Ramadhan yang merupakan bulan suci bagi umat Islam, Israel terus mengganas dan membunuh rakyat Gaza termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa dengan hujanan bom yang telah meragut ratusan nyawa sejak mereka menyerang Gaza pada 10 Julai 2014 yang lalu.

Sehubungan dengan itu IKRAM Kemaman dengan kerjasama Aqsa Syarif Berhad akan mengadakan siri kempen kesedaran dan kutipan sumbangan yang dinamakan Operasi Badar dengan sasaran sebanyak RM6 juta untuk dihantar segera ke Gaza bagi membantu rakyat Gaza yang teruk menderita akibat kezaliman Israel yang tidak berperi kemanusiaan ini.

Kempen kesedaran dan kutipan sumbangan ini juga merupakan sebahagian daripada Program Semarak Ramadhan 1435H daerah Kemaman yang kini masuk tahun yang ketiga. Ianya sebuah inisiatif yang digerakkan dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Kemaman. Antara program PSR pada tahun ini yang melibatkan kerjasama 12 buah masjid dan surau di daerah ini ialah majlis berbuka puasa bersama ahli kariah, sumbangan kepada 2000 orang fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal serta program remaja raikan ramadhan.

image

Menerusi PSR juga IKRAM Kemaman akan menghantar imam solat teraweh yang didatangkan khas dari Palestin ke masjid-masjid yang terpilih di daerah ini pada 16 hingga 18 Julai 2014 bersamaan 18 hingga 20 Ramadhan. Imam Palestin ini juga akan menyampaikan ceramah tentang isu perjuangan rakyat Palestin membebaskan tanahair mereka dari cengkaman zionis Israel sejak dari tahun penubuhan negara haram Israel pada 1948 sehingga sekarang.

IKRAM Kemaman sekali lagi menyeru agar rakyat di daerah ini untuk bersama menyokong usaha ini. Selain sumbangan derma yang akan disumbangkan terus kepada rakyat Palestin melalui saluran yang berwibawa iaitu Aqsa Syarif Berhad, penduduk di daerah ini juga digesa memboikot produk syarikat-syarikat yang menyokong Israel selama ini. Pihak masjid dan surau juga diseru agar mengadakan solat hajat dan doa qunut nazilah yang berterusan bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin ini menghadapi kezaliman Israel ini. Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 12092010034904 atau Maybank Islamic 551575004299 atas nama  Aqsa Syarif Berhad.

Hj Fakhrul Anuar bin Zulkawi
Timbalan Yang DiPertua
IKRAM Daerah Kemaman
14 Julai 2014 / 16 Ramadhan 1435

image